September 12, 2014

Artikel Tuan Hj. Darus Awang@ SOALAN BOCOR, INTEGRITI YANG PERLU DITAMPAL

Artikel ini sangat bagus untuk semua,  ditulis oleh Tuan Hj. Darus Awang, AAP,AMP.


SOALAN BOCOR, INTEGRITI YANG PERLU DITAMPAL

Haji Darus Awang. AAP., AMP.

Heboh satu Malaysia cerita soalan UPSR bocor. Hari semalam subjek sains, hari ini subjek bahasa Inggeris pula. Ini bukan lagi cerita atau berita di dalam media sosial tetapi berita arus perdana. Berita yang telah diangkat mertabatnya sebagai berita nasional. Berita yang menjadi topik bicara dan bualan di mana-mana sahaja. Cukup menyentuh rasa kebanyakan anak-anak UPSR, para ibubapa dan para guru di Negara ini.

Pelbagai komen dan pandangan diberikan terutama di dalam media sosial juga di dalam media arus perdana. Ada orang hebat dan berjenama yang memberikan komen dan ada juga rakyat marhean yang tumpang sama. Saya sekadar bersurah tentang keresahan yang dialami oleh para guru dan ibubapa di seluruh negara. Merekalah orang yang paling terasa bahana kes ini.
Walaupun anak saya yang kelapan terlibat di dalam peperiksaan UPSR ini tetapi kami tenang dan pasrah sahaja. Saya suka melihat keadaan anak saya kerana kelihatan selamba, santai dan sungguh ceria. Dia tahu jika dapat straight A, hanya akan masuk tingkatan satu dan tidak akan masuk universiti pada usia 13 tahun. Itulah falsafah yang ada dan tertanam di dalam dirinya. Itu ayat yang saya sebut secara berulang-ulang.

Sebagai penjawat awam di Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan pernah bertugas di Bahagian Pengurusan Sekolah Harian (BPSH), KPM untuk satu tempoh agak lama juga, saya amat bersimpati dengan rakan-rakan yang bertugas di Lembaga Peperiksaan, KPM. Ramai dalam kalangan mereka saya kenal dan ada juga sahabat baik saya di sana. Mereka adalah sasaran kepada keresahan ibubapa dan guru-guru di seluruh Negara.
Jika berlaku di Negara Barat atau Jepun yang tinggi integriti di dalam diri dan penghayatan hidup mereka, isu seperti ini boleh menyebabkan mereka tidak tidur malam memikirkan jalan penyelesaiannya. Kemungkinan paling besar ialah meletakkan jawatan secara bermaruah sebagai jalan penyelesainnya. Bangsa yang bermaruah tidak malu meminta maaf di atas kesilapan dan mengambil tanggugjawab di atas kecuaian yang berlaku.
Kepada rakan-rakan di Lembaga Peperiksaan, KPM, banyakkan bersabar dan tabah menghadapi ujian. Kebocoran telah berlaku dan perlu segera ditampal di mana-mana tempat yang bocor. Analogi mudahnya seumpama perahu yang bocor, ianya perlu ditampal dengan damar (gala) supaya tidak masuk air yang menyebabakan perahu akan tenggelam. Apabila perahu tenggelam berkemungkinan orangnya akan mati lemas jika tidak tahu berenang,

Jika soalan bocor, kita kena cari di mana bermulanya lubang bocor itu. Maka lubang yang bocor perlu ditampal segera. Perkara yang hendak ditampal ialah integriti segelintir mereka yang diberi amanah tetapi gagal menjaganya. Mereka berkemungkinan pencetak yang diamanahkan untuk mencetak soalan, penggubal soalan dan pegawai yang menjaga Bilik Kebal di setiap Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di seluruh negara. Mungkin di situ bermula lubang bocornya.

Kenal pasti punca di mana bocornya untuk ditampal lubang bocor tersebut. Jika punca bocor tidak diselesaikan, dikhuatiri sistem pendidikan negara tidak lagi diyakini pada masa-masa yang akan datang. Orang akan memperlekehkan sistem pendidikan kita, walaupun pada hemat saya UPSR itu sendiri sepatutnya tidak perlu ada.

Sepatutya mulakan sistem peperiksaan hanya di peringakat PMR. Di peringkat sekolah rendah cuma perkenalkan segala konsep asas supaya mereka mampu menggunakan akal dan kreativiti mereka. Kanak-kanak sebenarnya memiliki pelbagai potensi yang cukup hebat. Potensi akal mereka luar biasa jika dibimbing dengan betul. Tetapi sistem pendidikan yang hanya melihat kecemerlangan akademik membunuh pelbagai potensi lain yang ada dalam diri mereka.

Peperiksaan yang terlalu menekankan soal kecemerlangan dan straight A ini akan menjadikan kanak-kanak lebih stress, hidup tidak ceria dan terlalu skema. Zaman kanak-kanaknya hilang dengan dipaksakan belajar, belajar dan belajar. Itulah dunia mereka. Akhirnya mereka menjadi robot bernyawa, hilang perasaan dan menjadi kanak-kanak yang anti sosial atau ganas. Mereka dipaksa belajar dan menjadi matang sebelum tiba masanya.

Para guru juga stress kerana dipaksakan mencapai kecemerlangan kepada sekolah mereka. Mungkin kerana mengejar kecemerlangan ini akan ada manusia yang gagal menjaga integritinya. Memang semua orang inginkan kecemerlangan di dalam hidup. Tetapi jangan menggunakan paksaan untuk menghasilkan kecemerlangan. Berjayanya seseorang itu bukan pada berapa banyak A yang diperolehinya. Apa erti memiliki straight A jika anak kita hilang perasaan dan jiwa manusianya.

Masalah ini perlu diselesaikan dan jangan dibiarkan berlarutan. Jika dibiarkan pasti akan berulang lagi. Namun begitu penyelesaiannya seumpama menarik rambut di dalam tepung. Rambut tidak putus dan tepung tidak berselerak. Mereka perlu diadili sebaik mungkin dan jika sabit kesalahan perlu dihukum dan mereka yang terlibat bersekongkol juga dihukum. Ibubapa dan guru di luar sana pasti tidak mahu melihat lagi insiden ini. Pisang berbuah lebih sepuluh kali.

Muga-muga ada hikmah yang tersembunyi di sebalik peristiwa yang terjadi. Di sebalik yang tersurat pasti ada yang tersirat. Sama-sama kita fikirkan demi masa depan sistem pendidikan di Negara kita. Mungkin sistem berorientasi peperiksaan perlu dikaji semula di tahap mana perlu dimulakan sistem peperiksaan ini dan siapa yang perlu diamanhkan untuk menyediakan soalan peperiksaan ini.

No comments: